Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Sastera)

PENTAULIAHAN kepada 21 orang pengarang mapan tanah air yang diangkat sebagai Munsyi Dewan (Sastera) adalah antara usaha Dewan  Bahasa  dan Pustaka (DBP) untuk membina kumpulan pakar rujuk yang akan membimbing  pelajar sekolah, institusi  pengajian tinggi (IPT) dan umum. Mereka juga akan diberikan  tanggungjawab mengendalikan kursus  genre kesusasteraan tradisional dan moden, selain turut bertanggungjawab menulis makalah yang berkaitan sastera untuk dibentangkan pada acara peringkat negeri, kebangsaan mahupun di luar negara.

Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, berkata, pelantikan Munsyi Dewan (Sastera) itu bukan sekadar atas dasar bakat  dalam  penulisan, tetapi keterampilan dan  kewibawaan  tokoh dalam  menyampaikan maklumat, selain mampu menjaga nama baik DBP.

“Watikah yang diberikan itu bukan untuk berbangga, tetapi  amanah besar yang perlu dipikul mereka demi kepentingan bahasa dan persuratan Melayu serta kepentingan negara. DBP tidak teragak-agak untuk menarik balik pentauliahan sekiranya Munsyi Dewan (Sastera) tidak aktif membantu khususnya dalam kegiatan anjuran DBP,” katanya ketika menutup Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Sastera) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program Munsyi Dewan yang diadakan sejak tahun 1995 sehingga kini sudah  mengiktiraf 233 orang penerima dalam bidang bahasa dan sastera dan majlis pentauliahan itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Munsyi Dewan turut menjadi  duta  DBP, terutama dalam memperkembangkan sastera dalam media massa termasuk televisyen dan radio, bagi menyampaikan maklumat dan isu semasa dalam dunia sastera,  menyumbangkan ilmu dalam majalah terbitan DBP seperti Dewan Sastera, selain membantu DBP dalam projek khas, termasuk penerbitan berpakej.

Munsyi  Dewan  akan menerima bayaran kepakaran ketika menghadiri aktiviti  yang diadakan di luar kawasan bermastautin, diberikan pertimbangan untuk menghadiri acara sastera anjuran DBP secara percuma, dan mernbeli buku DBP pada potongan harga 20 peratus di kedai buku DBP pusat, cawangan dan wilayah.

Dua puluh satu orang pengarang mapan yang mendapat watikah dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak dengan kepakaran  berbeza terrnasuk cerpen, novel, puisi dan  kritikan, ialah Shapiai  Mohd Ramly, Ramli  Selamat ( Marsli  NO), Ahmad Shukri Abdullah, Muhammad Lutfi Ishak, Jasni Mat Lani, Ja’afar Hamdan, Dr Mohamad Saleeh Rahamad,  Mohd Ali Salim, Mohd Puzi Hadi, Rahimidin Zahari, Nazri Hussein, Alias Ismail, Kamal Ishak, Mohamad Hanifah  BK Koya Moideen, Azmah Nordin, Prof. Madya Dr. Rahimah A Hamid, Filzah Ibrahim, Rozninah Abd Azib, Nisah Haron, Maizura Mohd Ederis dan Siti Jasmina Ibrahim.

Azmah  ketika  ditemui Sastera BH mengaku tidak sabar-sabar untuk memulakan tugas sebagai Munsyi Dewan (Sastera) dan bersedia untuk turun padang dalam kegiatan sastera anjuran DBP, ditugaskan membimbing genre novel dan  cerpen, terutamanya membantu kegiatan DBP di sekitar Sabah serta menjelajah n.egeri lain, jika ada permintaan.

“Pembabitan dalam Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Sastera) dan ditauliahkan adalah suatu pencapaian; sesuatu yang tidak pernah saya impikan dan berharap dapat membantu masyarakat khususnya mencurahkan ilmu kepada penulis muda,” katanya.

Presiden,Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohammad Saleeh, berkata, kehadiran Munsyi Dewan (Sastera) membolehkan pelbagai program mengembangkan sastera dalam masyarakat dapat dilakukan secara lebih terancang, apatah lagi DBP berjaya mengumpulkan penulis dalam pelbagai genre sastera.

“Kebanyakan daripada kami yang dilantik sebagai Munsyi Dewan (Sastera) sudah lama terbabit  dalam  membimbing calon penulis sama ada dalam bengkel sastera anjuran DBP atau persatuan penulis dan badan lain. Pentauliahan ini memerlukan kami mematuhi gerak kerja DBP.

“Saya berpesan kepada diri sendiri dan penerima lain agar tidak mensia-siakan pengiktirafan yang diberikan dan memanfaatkan kepercayaan untuk membantu anak bangsa memartabatkan bahasa dan sasterase hingga ke akar umbi,” katanya.

Penyair yang juga peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 1987, Rahimidin yang menerima pengiktirafan Munsyi Dewan Sastera) selepas 26 tahun  penyertaan dalam  MPR, berkata,  beliau akan mencurahkan ilmu dan pengalamannya untuk membantu DBP mencapai matlamat menyemarakkan sastera tanah air.

“Saya akan cuba sedaya upaya menjadi pakar rujuk kepada golongan sasaran DBP, malahan kepelbagaian genre yang saya kuasai, iaitu  puisi, novel, cerpen,  teater, kritikan dan sastera lisan seperti wayang kulit, akan dicurahkan sepenuhnya nanti,” katanya yang pernah berceramah di Jerman dan Korea.

Penyair veteran Kedah, Mohd Puzi berharap pelantikannya dapat memberikannya peluang untuk bergerak cergas dalam pelbagai kegiatan bahasa, terutamanya di zon utara kerana hanya dua orang yang menerima pentauliahan itu, iaitu beliau dan Pensyarah Kesusasteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Rahimah Abd Hamid.

“Saya berharap dapat membantu DBP Wilayah Utara dalam pelbagai kegiatan yang akan direncanakan. Besar harapan saya agar bidang kritikan dan teori sastera yang lesu ketika ini dapat dikembangkan semula oleh semua Munsyi Dewan (Sastera) yang dilantik,” ujarnya.

Setiausaha Dua, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Nisah Haron pula berkata, pentauliahan berkenaan bukan sahaja penghargaan kepada penulis yang dipilih, malah menutup mulut sesetengah pihak yang meragui kewibawaan mereka sebelum ini.

“Adakalanya ketika dijemput untuk bercakap dalam pelbagai kegiatan sastera, kedengaran suara sumbang yang mempersoalkan kredibiliti kami untuk mengulas mengenai isu atau karya sastera. Bagi saya pentauliahan ini dapat mengelakkan perkara ini terus berlaku dan membuktikan kewibawaan penulis seperti kami,” jelasnya.

Nisah berharap semua Munsyi Dewan (Sastera) yang dilantik berusaha sedaya mungkin untuk melatih bakat baru dalam bidang  penulisan dengan kemungkinan suatu hari nanti mereka dapat memastikan kelangsungan arena sastera secara keseluruhan.

Dipetik dari Berita Harian 22 April 2013

No Responses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hubungi Kami

AKADEMI DBP,
Dewan Bahasa dan Pustaka,
Aras 4, Wisma DBP,
50460 Kuala Lumpur

Telefon pejabat: 03-2147 9217
Faksimile           : 03-2147 9614

Jumlah Pelawat Laman Ini
0044678